Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina
sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan
berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti
berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah ruah.
Mendidik
seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan
kesungguhan yang tinggi. Memang ia sukar dan meletihkan. Kalau tidak
kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan
si ayah, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik
anak.
Naluri kasih sayang tentunya menjadi bekal
pendorong dalam mendidik anak. Bayangkan jika manusia, terutamanya ibu
dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak-anak. Mereka akan melihat
anak-anak seperti mereka melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin
akan menganggap si anak sebagai beban yang menyusahkan. Tentunya berat
untuk mereka mendidik, bahkan menjaga mereka. Bersyukurlah kepada Allah
yang mengurniakan rasa sayang kepada anak dan sekelian kanak-kanak.
Inilah bekal motivasi semulajadi dalam kita mendidik anak-anak.
Di
mana letaknya kasih sayang? Tentunya ia soalan yang sukar untuk
ditanggapi. Payah untuk kita mengesan di mana letakkan rasa sayang.
Umum
mempercayai ia terletak di hati. Hati di sini bukannya hati fizikal.
Bukan juga jantung. Hakikatnya ia adalah satu perasaan halus yang ada
di sanubari manusia. Rasa semulajadi yang menyuntik bayu damai dan
bahagia. Inilah nikmat Allah yang indah. Allah jadikannya bukan
sia-sia. Tujuannya, agar rasa kasih sayang itu digarap sebagai
pendorong ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak.
Kasih
sayang mengubah persepsi seorang ibu dan bapa terhadap anak. Daripada
satu beban yang menyulitkan, menjadi satu cahaya mata yang
membahagiakan. Umpamanya, seorang bapa yang mempunyai ramai anak,
kadang-kadang rasa terbeban dengan tanggungjawab yang semakin bertambah
dan perbelanjaan yang besar. Ibu pula kadang-kadang terlintas betapa
sakitnya mengandung dan melahirkan anak-anak seorang demi seorang.
Betapa letihnya menjaga dan melayan kerenah di anak.
Tetapi
setelah mendengar tangisan pertama anak yang lahir maka susutlah beban
yang terasa. Setelah diamati wajah barisan anak-anak yang sedang
nyenak, maka hilanglah keletihannya. Apabila menyaksikan anak-anak
bermain riang di taman, maka luputlah kesakitan lampau. Apa lagi jika
si anak menjadi seorang yang soleh dan berjaya. Semua senario ini
adalah nikmat kasih sayang semulajadi kurniaan Allah kepada kita.
Dalam konteks pendidikan, naluri kasih sayang ini dapat berperanan dalam tiga keadaan iaitu:
Pertama,
Allah menjadikan naluri kasih sayang ini agar manusia menjadikan usaha
mendidik anak itu satu yang menyeronokkan. Sambil girang menimang anak
si bapa boleh menyelitkan acah-acahnya dengan unsur tarbiyah. Sambil
leka mendodoinya, si ibu boleh mengalunkan lagu-lagu yang membangkitkan
jiwa, iman dan semangat juang. Sambil seronok bergurau senda, bertempuk
tampar, si ibu dan ayah boleh melatih mereka erti kerjasama dan
mementing diri, erti timbang rasa dan keegoan, erti ketaatan dan
keengkaran, erti sopan dan biadap, serta erti dosa dan pahala. Sambil
bahagia bersiar-siar dan berkelah, anak-anak boleh diajar soal-soal
ketuhanan, tatacara ibadah, keluhuran akhlak dan teknik bermasyarakat.
Ringkasnya, segenap aktiviti yang menyeronokkan itu boleh berubah
wajahnya menjadi medan tarbiyyah insaniyah.
Kedua, naluri
kasih sayang mencipta ketabahan dan kegigihan mendidik buat ibu dan
bapa. Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat
demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Teguran demi teguran. Tapi anak
tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri
kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung
henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika
berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha tarbiyah
itu secara berterusan dengan penuh kesabaran.
Ketiga,
fitrah kasih sayang dalam jiwa manusia juga mendorong pengorbanan luar
biasa si ibu dan bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari
kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak.
Bagi si ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang
mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi
manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu
diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak.
Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.
Allah menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan
merahmati anak-anaknya.
Imam Al-Bukhari telah
meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Seorang wanita telah
datang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah memberikan kepadanya
tiga biji kurma. Kemudian, wanita itu memberikan dua biji kurma kepada
dua orang anaknya. Sebiji lagi dipegang untuk dirinya. Setelah
kedua-dua anak itu selesai makan kurma masing-masing, mereka pun
meminta kurma yang masih ada di tangan ibunya. Lalu si ibu membahagikan
kurma itu kepada dua, lantas memberikan kepada setiap seorang anaknya
sebelah kurma. Apabila datang Rasulullah s.a.w. maka Aisyah
menceritakan hal itu kepada Baginda. Lalu Baginda pun bersabda kepada
Aisyah: "Kenapa pula adinda hairan dengan apa yang berlaku itu?
Sebenarnya Allah telah merahmati si ibu itu sebagaimana dia merahmati
anak-anaknya."
Walau bagaimana pun, kasih sayang kepada
Allah tidak dapat mengatasi kasih sayang kepada anak-anak. Dalam kasih
ada ujian. Kadang-kadang ibu bapa diuji dengan dua persimpangan. Antara
perintah Allah dan rasa sayang pada anak. Tentunya yang patut dipilih
ialah perintah dan redha Allah taala. Pada zahirnya, memilih perintah
Allah bermakna 'mengorbankan' anak. Tetapi hakikatnya, itulah kemanisan
dan keindahan dalam perasaan kasih kepada si anak. Sejarah pengorbanan
Nabi Ibrahim terpahat kukuh sebagai bukti bahawa kadang-kadang naluri
kasih sayang itu terpaksa dilupakan demi perintah Allah.
Mungkin
kisah Syaikh Hasan Al-Banna, seorang tokoh gerakan Islam abad ini
boleh dijadikan contoh. Beliau adalah pemimpin dakwah yang mengorbankan
seluruh tenaga, masa dan kudratnya untuk perjuangan Islam. Beliau
sentiasa menjadikan sambutan Hari-hari Raya atau hari kebesaran sebagai
peluang untuk mendekati golongan muda.
Pada suatu Hari
Raya, anaknya Saiful Islam telah ditimpa sakit yang berat sehingga
hampir-hampir mati. Isterinya berkata: "Kalau boleh, kanda
bersama-samalah keluarga pada hari raya ini. Tambahan pula anak kita
sedang sakit" Beliau menjawab: 'Sekiranya Allah bermurah untuk
menyembuhkan anakku daripada penyakit, maka bagiNya segala pujian dan
kesyukuran. Namun, jika Allah mentakdirkan dia meninggalkan kita, maka
datuknya telah tahu mana jalan untuk ke kubur'. Lalu dia membaca firman
Allah dari ayat 24 Surah Al-Taubah yang bermaksud:
"Katakanlah,
jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu,
isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu
perolehi, barang perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya, dan tempat
tinggal yang kamu sangat sukainya lebih kamu cintai daripada Allah dan
Rasulnya serta jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah
memberikan perintahnya sedang Allah tiada memberi petunjuk kepada
orang-orang yang jahat"
Tegasnya, naluri kasih sayang itu
adalah satu rahmat Allah yang amat berharga. Setitis nikmat kasih
sayang ini, memberikan kita selaut manfaat dan kebaikan khususnya dalam
usaha mendidik anak. Namun dalam keindahan asyik kasih sayang kepada
anak tersirat ujian kepada ibu dan bapa. Ujian yang perlu dilepasi bagi
membuktikan bahawa kasih kepada Allah adalah mengatasi kasih sayang
yang lain. Bahkan hakikatnya, kasih kepada anak itu berakar umbi
daripada kasih, sayang serta rahmah Allah Azzawajalla.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar